Agihan kerusi PRN 6 negeri tak perlu dipolemik, kata Loke

Agihan kerusi PRN 6 negeri tak perlu dipolemik, kata Loke

Loke Siew Fook berkata prinsip mesti dipersetujui ialah kerusi penyandang akan terus disandang parti menang.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pembahagian kerusi antara PH dan BN perlu diputuskan berdasarkan prinsip dipersetujui menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
SEREMBAN:
Pembahagian kerusi DUN antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri kelak perlu diputuskan berdasarkan prinsip dipersetujui menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata antara prinsip dan parameter dipersetujui berkenaan adalah kerusi dimenangi oleh parti tertentu akan terus ditandingi parti tersebut dalam PRN akan datang.

“Apabila kita memasuki apa-apa rundingan kerusi sudah tentu ada parameter, ada prinsip mesti dipersetujui iaitu kerusi penyandang akan terus disandang parti menang contohnya kalau kerusi itu dimenangi BN, takkan kita nak minta, sudah tentu akan menimbulkan masalah.

“Untuk kerusi yang tidak dimenangi sama ada PH atau BN, maka kita berunding umpama di Kedah, Terengganu dan Kelantan, sudah tentu kena berunding antara PH dan BN, itu dipersetujui,” katanya selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan.

Loke, yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan, berkata demikian kepada pemberita mengulas mengenai hasrat BN negeri meminta tambahan dua kerusi daripada PH dalam PRN nanti bertujuan mendapatkan keseimbangan dalam setiap DUN.

Loke berkata, soal pembahagian kerusi antara PH dan BN di enam negeri bagi menghadapi PRN juga tidak perlu dipolemikkan dan segala hasrat atau pandangan mana-mana pihak perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kita hormati pandangan, semua orang boleh bagi pandangan masing-masing, setiap parti ada hasrat dia tetapi akhirnya saya katakan keputusan mesti berdasarkan kepada prinsip secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tidak timbul soal berkecil hati dalam politik dan semua pihak perlu berlapang dada untuk sebarang keputusan akan diputuskan pimpinan pusat.

“Pucuk pimpinan parti masing-masing akan memahami keadaan ini, kita bercakap atas beberapa prinsip dan parameter, jadi kalau tak langgar beberapa prinsip itu ia tidak menjadi masalah dan tidak timbul soal kecil hati,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada program itu, Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata gabungan PH dan BN perlu mencapai kesepakatan dan persefahaman untuk mengelak berlakunya pertindihan kerusi dalam PRN selain perlu ada kerjasama antara satu sama lain dalam PRN nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.