
“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu. Biar saya teliti dahulu. Sepatutnya tidak berlaku sebarang konflik kepentingan.
“Sekiranya ada saya akan membuat perubahan (yang perlu), sama seperti perubahan yang saya lakukan pada pengerusi Keda,” katanya yang merujuk kepada pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang kini ditangguhkan.
Anwar bercakap kepada wartawan dalam satu majlis.
Pemain industri dan perniagaan melahirkan kebimbangan mengenai pelantikan Rashdan kerana beliau adalah timbalan penolong pengarah urusan Gamuda Bhd, sebuah syarikat terbabit dalam perniagaan tenaga boleh baharu.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak memberi amaran kepada Putrajaya pelantikan boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan berkata, kerajaan mesti konsisten dalam membuat lantikan penting di badan kawal selia.
Gamuda ialah pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, dan Disember lalu, ia mengumumkan RM2 bilion dibelanjakan untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.
Setakat ini, ia memperoleh 30% kepentingan dalam ERS Energy Sdn Bhd, syarikat terlibat dalam tenaga solar.
Sementara itu, Anwar menolak gesaan supaya Pulau Pinang mempunyai ketua menteri Melayu dalam pilihan raya negeri akan datang, dan berkata jawatan itu seharusnya berdasarkan merit, bukannya bangsa.
Tambahnya, isu utama sama ada pemimpin kerajaan mampu memastikan tadbir urus yang baik ketika berkuasa.
Terdapat persefahaman bahawa ketua menteri Pulau Pinang adalah dari kaum Cina.
Menurut data Jabatan Statistik pada 2018, penduduk Cina merangkui 41.3% populasi Pulau Pinang, diikuti Melayu (41%), India (8.9%), lain-lain (0.7%), dan warga asing (8.1%).