PM arah siasat penyeludupan 336kg heroin ke Australia

PM arah siasat penyeludupan 336kg heroin ke Australia

Anwar Ibrahim berkata kejadian tersebut adalah sesuatu yang memalukan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kastam menyediakan laporan itu dalam tempoh dua minggu. (Gambar Australia Federal Police)
SUNGAI PETANI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kastam menyediakan laporan penuh berhubung penyeludupan dadah jenis heroin bernilai RM790 juta tanpa dikesan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Australia pada Mac lalu.

Rampasan 336kg heroin oleh pihak berkuasa Australia itu dilaporkan kedua terbesar di negara itu.

“Jika dibuktikan sah kerana ia dari Pelabuhan Klang ia sangat memalukan. Soalnya bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang ini boleh bolos. Ia bukan soal kecil tetapi tunjuk kelemahan dalam sistem kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri Madani.

Kata Anwar, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada Kastam untuk menyediakan laporan penuh berhubung kes penyeludupan berkenaan.

“Saya nak tahu apa sebenarnya berlaku. Bagaimana sudah 12 hingga 16 kali berlaku sehingga (suspek) ditangkap di Australia.

“Bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang ini boleh bolos. Ia bukan soal kecil tetapi tunjuk kelemahan dalam sistem kita. Saya juga minta polis terutama Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial juga bersama dalam siasatan ini,” katanya.

Heroin seberat 336kg dengan nilai di pasaran RM790 juta dirampas polis Australia di Brisbane, Queensland, pada 13 Mac lalu.

Polis Australia berkata, dadah itu disembunyikan dalam dua blok konkrit setiap satunya seberat 500kg dan diisytihar sebagai panel solar di dalam kontena melalui jalan laut. Pihak berkuasa mengerudi blok konkrit itu dan mengeluarkan 960 paket yang mengandungi heroin.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kementerian sedang mengenalpasti dan menyiasat pelabuhan yang bertanggungjawab menghantar dadah itu ke Brisbane.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.