PH belum mesyuarat, kata Loke berkait status permohonan Muda

PH belum mesyuarat, kata Loke berkait status permohonan Muda

Parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon menjadi sebahagian komponen Pakatan Harapan pada September tahun lalu.

Majlis Presiden PH antaranya merangkumi (dari kiri) Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Presiden PKR Anwar Ibrahim, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. (Gambar Twitter)
KLANG:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pimpinan Pakatan Harapan belum mengadakan sebarang pertemuan setakat ini, sebagai respons kepada gesaan Muda ingin mengetahui keputusan parti itu menyertai gabungan berkenaan.

“Kami belum ada mesyuarat PH setakat ini. Kami akan membincangkan (permohonan Muda) apabila kami bertemu masa akan datang,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata parti masih menunggu respons daripada PH berhubung permohonannya menyertai gabungan itu.

Katanya, lebih mudah bagi Muda menentukan kerusi untuk ditandingi menjelang PRN yang dijangka diadakan selepas Jun, sejurus perkara itu diselesaikan.

Syed Saddiq berkata, beliau ada mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, dan dimaklumkan Majlis Presiden akan membincangkannya.

Muda secara rasmi memohon menyertai PH pada 9 Sept tahun lalu. Walaupun PH belum memutuskan berhubung permohonan tersebut, gabungan itu bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan Muda.

Berlaku percanggahan dalam kalangan komponen PH sama ada Muda boleh diterima sebagai rakan gabungan, dengan ada beberapa pihak berpandangan ia menjurus kepada liabiliti, selain merumitkan pembahagian kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.