Gagal bayar pinjaman FSA2 boleh disenaraihitamkan, kata Ahmad Maslan

Gagal bayar pinjaman FSA2 boleh disenaraihitamkan, kata Ahmad Maslan

Timbalan menteri kewangan juga berkata, nama peminjam juga akan disenaraikan dalam sistem CCRIS dan CTOS.

Sehingga 12 Apr, sejumlah 59,230 ahli KWSP memohon program pinjaman FSA2 itu, tetapi hanya 27,705 layak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peminjam Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal membayar balik pinjaman mereka mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenaraihitamkan, kata Ahmad Maslan.

Timbalan menteri kewangan juga berkata, nama peminjam juga akan disenaraikan dalam sistem CCRIS dan CTOS, lapor The Edge.

“Bagaimanapun, dalam tempoh senarai hitam, bank tidak boleh mengambil wang peminjam dalam Akaun 2 KWSP sehingga mereka mencapai umur 50 tahun, kerana kemudahan ini bukannya cagaran,” katanya.

Sehingga 12 Apr, sejumlah 59,230 ahli KWSP memohon program itu sejak ia dibuka pada 7 Apr, tetapi hanya 27,705 layak.

FSA2 ialah kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Setakat ini, dua bank mengambil bahagian dalam FSA2, MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

Mengikut kenyataan MBSB di laman rasmi Facebook, pencarum KWSP yang memohon pembiayaan FSA2 boleh menyemak status permohonan mereka bermula esok, di laman sesawang rasmi bank itu.

FSA2 melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

Fasa pertama program itu dibuka untuk ahli yang berumur 40 tahun dan ke atas, manakala dasa kedua kumpulan umur 40 tahun ke bawah akan diumumkan kemudian.

Ahmad menambah, peminjam perlu membayar ansuran bulanan dengan kadar faedah tahunan 4.5%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.