
Mereka sebahagian daripada kumpulan lebih besar yang kecewa, selepas ke Pulau Pinang untuk bekerja pada Disember lalu, tetapi diberitahu tiada pekerjaan menanti mereka.
Harapan mereka untuk pengalaman pahit itu berakhir kemudiannya musnah, selepas bas dinaiki mereka diminta berpatah balik beberapa jam ketika menuju ke Johor Selasa lalu.
Seorang daripada pekerja itu berkata, tiada alasan diberikan.
Mereka kemudian ditempatkan di sebuah asrama di Subang Jaya yang hanya dilengkapi sebuah tandas.
Warga asing itu berkata, dia dan rakan senegara lain menghargai usaha Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur yang berjanji akan membantu mereka mencari pekerjaan di Johor dan memberi RM1,500 kepada setiap seorang.
Bagaimanapun, mereka terkejut dan kecewa dengan keadaan itu.
“Kami mahu pasport kami dipulangkan dan merayu pihak berkuasa Malaysia membantu kami mendapatkan pekerjaan atau hantar kami pulang ke Bangladesh.
“Kami berdepan pengalaman terburuk sejak beberapa bulan lalu. Kami menderita dari segi mental dan fizikal, serta tidak sanggup bertahan lagi.”
Aktivis pekerja asing, Andy Hall berkata, beliau sudah berhubung dengan wakil pekerja itu dan pihak berkuasa.
“Dokumen mereka dirampas. Ini sama seperti pemerdagangan manusia dan buruh paksa.”
Beliau memberi amaran Malaysia mungkin kekal di Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang AS, jika keadaan ini berterusan. Negara di Tahap 3 langsung tidak memenuhi standard minimum penghapusan pemerdagangan dan tiada usaha signifikan untuk menanganinya.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Golam Sarwar berkata, beliau akan memberi maklum balas tidak lama lagi.