
Beliau berkata, Wan Fayhsal tidak sepatutnya mendakwa SPRM membocorkan butiran laporan itu, sebaliknya mendedahkan pendiriannya berhubung perkara tersebut.
“Wan Fayhsal jangan alih isu. Tidak payah main isu kebocoran kandungan laporan siasatan SPRM terhadap Nazlan.
“Justeru saya cabar Wan Fayhsal dan Bersatu apa pendirian mereka terhadap kandungan laporan itu yang mendakwa Hakim Nazlan memang ada konflik kepentingan dan melanggar kod etika hakim,” katanya di Facebook.
Semalam, Wan Fayhsal mendakwa wujud konspirasi untuk membebaskan Najib melalui pengampunan diraja. Beliau berkata majoriti rakyat tidak mahu melihat bekas perdana menteri itu dibebaskan daripada penjara dan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk mempercepatkan pembebasannya.
Komen Wan Fayhsal dibuat selepas Pemuda Bersatu membuat laporan polis terhadap SPRM kerana dikatakan membocorkan butiran siasatannya terhadap Nazlan.
Laporan dibuat Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad, mendakwa SPRM membocorkan maklumat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Katanya, maklumat itu yang kemudian didedahkan kepada media memberi tanggapan palsu bahawa Nazlan membuat penghakiman tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kepada Najib dalam kes SRC International.
Selain itu, Puad menyifatkan Wan Fayhsal sebagai pemimpin yang keliru dan suka membuat andaian apabila mendakwa permohonan Najib untuk pengampunan diraja adalah konspirasi.
“Dia dakwa permohonan Najib untuk pengampunan diraja adalah konspirasi. Konspirasi apa? Ia adalah hak dan perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan.
“Kedua Wan Faisyal sering buat andaian tipu. Apa bukti majoriti rakyat membantah Najib memohon pengampunan diraja?” soalnya.
Puad berkata, permohonan pengampunan dibuat kerana Najib percaya beliau tidak diberikan perbicaraan yang adil kerana dakwaan konflik kepentingan Nazlan.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan diraja kepada Najib.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.