Majikan pekerja Bangladesh terkandas dipanggil hadap kementerian

Majikan pekerja Bangladesh terkandas dipanggil hadap kementerian

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Golam Sarwar berkata majikan itu pada mulanya keberatan bekerjasama dengan pihaknya.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Golam Sarwar (tengah, bercermin mata) berkata syarikat yang mengambil pekerja berkenaan tidak mengendahkan usaha pejabatnya menghubungi mereka. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Firma yang menyebabkan sekumpulan pekerja Bangladesh terkandas selepas tiba mereka di negara ini empat bulan lalu telah dipanggil menghadap kementerian sumber manusia, menurut pesuruhjaya tinggi Bangladesh.

Kementerian mahu majikan yang dinamakan dalam visa kerja pekerja berkenaan, menjelaskan mengapa mereka tidak mempunyai kerja, kata Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Golam Sarwar.

Golam mendakwa syarikat itu enggan bekerjasama dengan pihaknya, dan tidak mengendahkan usaha suruhanjaya tinggi untuk menghubungi mereka bagi menyelesaikan isu itu.

“Namun selepas kami merujuk perkara itu kepada kementerian sumber manusia, majikan itu kini bekerjasama. Jabatan tenaga kerja dilaporkan telah memanggil majikan itu untuk mesyuarat esok.

“Pihak jabatan memberi jaminan bahawa pekerja berkenaan akan diambil bekerja sebuah firma baharu berpangkalan di Johor Bahru. Kami berhubung rapat dengan semua pihak dan berharap isu itu akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya kepada FMT.

FMT tidak mendedahkan nama majikan itu sehingga mendapat maklum balas mereka.

Golam mengulas laporan FMT hari ini bahawa 35 pekerja Bangladesh yang berada di sini sejak Disember tidak mendapat kerja dijanjikan ejen.

Pada 11 April, pekerja terbabit berkata mereka dihantar ke sebuah kilang di Johor Bahru oleh pihak pesuruhjaya tinggi. Bagaimanapun, selepas dua jam perjalanan, bas dinaiki diarahkan berpatah balik seterusnya memusnahkan harapan mereka untuk mendapat kerja.

Pekerja berkenaan kemudian berkata mereka ditempatkan di sebuah asrama di Subang yang hanya dilengkapi satu tandas.

Mereka sebahagian daripada kumpulan lebih besar yang kecewa selepas ke Pulau Pinang untuk bekerja pada Disember lalu, tetapi diberitahu tiada pekerjaan menanti mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.