Jangan buat andaian berkait pegawai ditahan SPRM, kata menteri

Jangan buat andaian berkait pegawai ditahan SPRM, kata menteri

Menteri sumber manusia berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Dilaporkan pegawai kanan V Sivakumar dan seorang ejen pengambilan pekerja asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa selepas pegawai dari pejabatnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sivakumar berkata, ketika ini pihaknya tidak akan mengulas lanjut berhubung penahanan itu memandangkan ia masih dalam siasatan SPRM.

“Saya maklum berkenaan penahanan pegawai daripada pejabat saya. Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan SPRM, saya tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung perkara ini.

“Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap media tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga agensi terlibat selesai melakukan siasatan.

Terdahulu media melaporkan pembantu Sivakumar ditahan SPRM.

Pembantu itu yang merupakan pegawai kanan Sivakumar, ditahan bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

Difahamkan, penahanan mereka ada kaitan siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.