
Rosli Hasan, 52, dituduh menerima suapan itu antara Mei 2017 hingga Februari 2018 dalam bentuk pengubahsuaian rumah milik isterinya di Jalan Pokok Mangga 61, Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736.
Beliau juga berdepan 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Okt 2017.
Kedua-dua suapan itu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serba guna, tiga lot kedai serta rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samad menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar, memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan pencen RM2,018 sebulan, selain terpaksa menanggung dua isteri dan lapan anak.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan permohonan Azrul dengan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes.