Tukang rumah didakwa bunuh isteri

Tukang rumah didakwa bunuh isteri

Mangsa, Rubiah Sabtu, 41, sebelum ini dilaporkan maut dipercayai dipukul dengan tukul besi 5 April lalu.

Tertuduh, Mohd Amir Hamzah, 32, didakwa di Mahkamah Majistret Dungun atas tuduhan menyebabkan kematian isterinya, Rubiah Sabtu, 41, di Bukit Besi. (Gambar Bernama)
DUNGUN:
Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi, awal bulan ini.

Mohd Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Dia dituduh menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, di Kampung Besol, Batu 6, Bukit Besi antara 7.30 hingga 8 pagi pada 5 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

Media sebelum ini melaporkan, Rubiah yang parah pada bahagian muka, maut dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lalu, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.