
Timbalan Presiden Upko itu mempersoalkan mengapa laporan berkenaan diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun sedangkan ia “tidak berbahaya” dan menawarkan “penjelasan mudah” punca kepada nahas.
“Kami keliru mengapa laporan itu dirahsiakan bagi tempoh sangat lama. Ada pegawai kerajaan dan menteri berkata laporan itu dirahsiakan kerana melibatkan kepentingan awam. Ada juga yang berkata ia melibatkan keselamatan negara.
“Tetapi, mereka boleh sahaja memaklumkan semua ini 46 tahun lalu. (Laporan) ini anti-klimaks,” katanya kepada FMT.
Donald yang juga bekas Ahli Parlimen Penampang, adalah anak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri ketika itu, Peter Mojuntin, antara 11 terkorban dalam tragedi itu.
Beliau menggesa kerajaan Anwar Ibrahim menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat mengapa laporan itu perlu dirahsiakan.
Donald berkata, ada sesuatu tidak kena berkenaan laporan itu dan Putrajaya sepatutnya melakukan siasatan supaya apa sahaja perkara menyelubungi insiden terbabit didedahkan.
Beliau berkata, tragedi itu merubah banyak perkara kepada Sabah, termasuk persekitaran politiknya.
“Kami menerima laporan itu seadanya, namun memandangkan laporan itu cukup jelas, mengapa perlu dirahsiakan? Tiada sebab munasabah untuk merahsiakan laporan sedemikian.
“Sekarang, saya fikir lebih ramai rakyat Sabah secara umumnya tertanya-tanya mengapa ia dirahsiakan sejak dari awal. Mengapa, mengapa, mengapa?”.
Menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi, tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.
Menurut laporan itu, pesawat itu diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.
Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.
Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.
Kata laporan itu, syarikat itu perlu ada sistem pemantauan untuk memastikan semua prosedur dipatuhi, tambahnya satu contoh adalah pemantauan masa rehat kru penerbangan.
Juruterbang pesawat itu dilaporkan sudah melebihi masa bertugas selama 67 minit ketika kemalangan berlaku. Jumlah masa bertugas ditetapkan kepada 10 jam. Manual operasi syarikat menunjukkan masa kru penerbangan mula bertugas adalah dua jam sebelum berlepas dan sejam selepas penerbangan.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.