
Yang Dipertua DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ini berdasarkan persetujuan semua Adun selepas mendengar taklimat berhubung Akta Perlembagaan (Pindaan) No.3 2022 (Akta A1663) (anti-lompat parti) daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri.
“Secara keseluruhannya, semua berpuas hati dan tidak mahu mandat yang diberikan rakyat tidak dipatuhi atau wakil rakyat sewenang-wenangnya melompat ke parti lain untuk kepentingan peribadi.
“95% daripada (inti pati) RUU ini boleh dikatakan seperti yang telah diluluskan di Parlimen, cuma ada sedikit perkara yang perlu diperhalusi mengikut situasi DUN Pahang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat itu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua DUN Pahang Lee Chin Chen, Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar.
Mohd Sharkar berkata memandangkan DUN Pahang dijadual bersidang pada 8 Mei maka notis berkaitan RUU itu perlu diterima oleh pejabat DUN negeri sebelum 22 April ini.
Pahang antara negeri yang belum melaksanakan undang-undang anti-lompat parti sejak ia berkuatkuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri bersedia membentangkan RUU itu jika mendapat persetujuan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi yang turut memerlukan persetujuan pembangkang.
Ini kerana komposisi DUN Pahang selepas PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Ditanya mengenai perkara yang masih perlu diperhalusi, Mohd Sharkar berkata antaranya ialah kedudukan lima Adun lantikan tanpa melalui proses pilihan raya yang diluluskan DUN Pahang pada November 2020.
Perkara itu turut dipersetujui Tuan Ibrahim yang melihat kedudukan Adun lantikan perlu diperkemas supaya tidak timbul implikasi undang-undang pada masa akan datang.
“Sebagai contoh, Adun lantikan adalah wakil sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan setelah dilantik, membuat keputusan menyertai parti politik namun dibantah oleh NGO terlibat.
“Perkara seperti ini perlu dibincangkan lagi dan jika (RUU) ini memerlukan lebih masa, lebih baik ia tidak dibuat secara terburu-buru kerana kami akan memberikan sokongan (kepada RUU ini) di DUN,” katanya.