
Miti dalam kenyataan berkata, penjenamaan itu seiring keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri 5 April lalu.
Katanya, penjenamaan itu bertepatan dengan fungsi kementerian yang menjadi peneraju dan bertanggungjawab untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing.
“Selain itu, ia juga bagi memperkasakan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan antarabangsa serta memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan.
“Keputusan ini juga selaras aspirasi kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti penggalakan pelaburan seperti digariskan bawah Aspirasi Pelaburan Nasional bagi kesinambungan pembangunan semula ekonomi negara seperti digariskan dalam wadah kerajaan Madani,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Miti terus komited menarik pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan sektor industri sedia ada.
Katanya, sektor industri sedia ada merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara bagi kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).