Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah kedai

Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah kedai

Menurut bomba, lilin dipercayai menjadi punca kebakaran rumah kedai dua tingkat itu.

Seramai 40 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.11 pagi tadi. (Gambar JBPM Pulau Pinang)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari, George Town.

Individu dipercayai berstatus orang kurang upaya (OKU) itu ditemui atas lantai bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, 40 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak serta Bagan Jermal dikerahkan selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.11 pagi tadi.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api marak membakar rumah kedai dua tingkat dan maklumat awal diterima, terdapat seorang individu terperangkap dalam premis itu.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran pada 4.43 pagi,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat.

Berdasarkan maklumat awal orang awam, katanya, mangsa dipercayai lelaki OKU, namun nama, usia dan butiran lanjut individu itu belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pemilik premis bahawa kedai itu tidak dilengkapi bekalan elektrik.

“Kemungkinan ada sumber lain, iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca.

“Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70%,” katanya.

Ia kebakaran ketiga dalam minggu ini yang membabitkan kematian di Pulau Pinang.

Semalam, wanita OKU terlantar, Nuraida Hashim, 43, maut dalam kebakaran di Kampung Alma, Bukit Mertajam, manakala G Sri Laavanya, 7, ditemui rentung dalam kebakaran di Jalan Paya Terubong, Kampung Pisang Air Itam pada Isnin lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.