Aktiviti kuari mungkin punca jerebu di Seremban, kata MB

Aktiviti kuari mungkin punca jerebu di Seremban, kata MB

Aminuddin Harun berkata JAS sudah diminta melihat dan melakukan operasi di kawasan kuari itu.

Bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Seremban iaitu 118 susulan jerebu, pada 10 pagi tadi.
SEREMBAN:
Jerebu di sekitar Seremban ketika ini kemungkinan berpunca daripada kerja perindustrian dan kuari di Nilai, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) melihat dan melakukan operasi di kawasan tersebut supaya keadaan jerebu dapat dikawal dengan baik.

“Saya telah arahkan JAS dua minggu lepas supaya beri perhatian perkara ini agar ia tidak menyumbang ke arah indeks pencemaran udara (IPU) yang semakin teruk…memang ada beberapa tempat berhabuk dan kering.

“…dari lebuh raya juga kita boleh nampak ada habuk dan debu, saya juga menyeru penduduk di negeri ini tidak melakukan pembakaran terbuka berhampiran rumah atau kebun dalam waktu ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri.

JAS melaporkan, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Seremban iaitu 118 susulan jerebu, pada 10 pagi tadi.

Menurut laporan itu, daerah lain yang mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana namun menghampiri tahap tidak sihat ialah Cheras (90), Banting (90,) Tanah Merah (91), dan Nilai (96).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.