Agihan kerusi: Kekal perpaduan harus utama, kata pemimpin Umno

Agihan kerusi: Kekal perpaduan harus utama, kata pemimpin Umno

Ketua Umno Pasir Mas, Noor Hariri Mohd Noor, berkata rundingan kerusi BN-PH perlu mengambil kira keperluan mengekalkan perpaduan komponen kerajaan persekutuan.

Rundingan kerusi BN-PH di Kelantan perlu mengambil kira keperluan untuk mengekalkan perpaduan komponen kerajaan persekutuan.
PETALING JAYA:
Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak sepatutnya hanya bergantung kepada penyandang, kata seorang pemimpin Umno Kelantan.

Ketua Umno Pasir Mas, Noor Hariri Mohd Noor, berpandangan rundingan kerusi BN-PH perlu mengambil kira keperluan untuk mengekalkan perpaduan komponen kerajaan persekutuan.

“Kita juga perlu melihat begini: Katakanlah kalau BN dan PH tanding separuh-separuh di Kelantan, mungkin di Selangor kena buat. Tak kisah walaupun kerusi itu dimenangi PH,” katanya.

Beliau mengulas rundingan kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan kelak.

Pada PRU14, BN menerusi Umno menang lapan daripada 45 DUN di Kelantan sementara PH sifar. Seorang wakil rakyat Umno kemudian keluar parti untuk menyertai Bersatu.

Pada PRU15, Perikatan Nasional menyapu bersih semua 14 Parlimen di Kelantan.

Hariri berkata perbincangan dalam BN sebelum ini menyimpulkan dua perkara, iaitu kena ada rundingan kerusi PRN dan kena sepakat menjalankan kerja di peringkat akar umbi bagi menampakkan perpaduan dengan PH.

Beliau memaklumkan barisan baharu pimpinan BN Kelantan akan adakan rundingan dengan PH dalam masa terdekat.

Sementara itu, seorang pemimpin Pakatan Harapan menjangkakan sebahagian besar kerusi pada PRN Kelantan kelak akan ditandingi Barisan Nasional, berdasarkan perbezaan kekuatan jentera akar umbi antara dua sekutu baharu itu.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain, berkata jentera BN lebih kuat di sekurang-kurangnya 30 kawasan DUN.

“Secara asasnya, kerusi yang BN menang pada PRU lalu akan kekal miliknya, yang selebihnya akan dirunding,” katanya kepada FMT.

Muhammad berkata PH Kelantan menyerahkan kepada pimpinan pusat gabungan itu untuk menentukan bilangan kerusi yang ditandingi.

“Kita ikut apa sahaja pusat putuskan.”

Pada ketika ini, katanya, PH dan BN Kelantan giat menjalankan program bersama bagi memudahkan gerak kerja PRN menghadapi PAS, yang memerintah negeri itu sejak 1990.

“Kita tak bersikap terlalu optimis, (tapi) kita akan beri saingan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub memaklumkan rundingan pembahagian kerusi dengan PH di negeri itu secara serius belum berlangsung.

“Tak bincang lagi,” katanya ringkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.