
Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, berkata kedua-dua tahanan itu, Riki Rinaldi, 40, dan Samirudin, 36, dijumpai dalam tempoh 24 jam di dua lokasi berasingan di sekitar Jalan Felda Inas-Kulai.
Tok berkata jarak antara kedua-dua lokasi ditemui dianggarkan 1.5km, dan kedua-dua tahanan tersebut menukar baju lokap yang dipakai dengan t-shirt dan jeans, dipercayai dicuri.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Risikan dan Operasi IPD Kulai membuat tangkapan ke atas Riki, di sebuah pondok di kebun sayur Sengkang, Jalan Felda Inas-Kulai, pada 10.35 malam tadi.
“Sementara, Samirudin, ditahan di sebuah pondok di kebun sayur Taman Saga, Jalan Felda Inas-Kulai, pada 10.40 pagi tadi. Kedua-dua tahanan itu mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun dari van untuk meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan.
Tok berkata, polis membuka kertas siasatan bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
“Riki akan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, manakala reman bagi Samirudin akan dipohon esok,” katanya.
Media melaporkan dua tahanan warga Indonesia membuka gari sebelum melarikan diri semasa dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang pagi semalam.
Ketika kejadian, mereka bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Ledang selepas didakwa di Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, pada 8 pagi semalam.
Mereka ditangkap penguat kuasa maritim kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen sah masuk ke negara ini.