Wanita OKU maut akibat terhidu asap

Wanita OKU maut akibat terhidu asap

Nuraida Hashim yang mengalami kecacatan mental ditemui tidak sedarkan diri atas katil di rumahnya di Bukit Mertajam, petang tadi.

Bomba berkata wanita orang kurang upaya itu disahkan meninggal dunia selepas berjaya dibawa keluar dari rumah terbakar. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal selepas sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang, mangsa Nuraida Hashim, 43, yang mengalami kecacatan mental ditemui tidak sedarkan diri di atas katil di rumahnya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Mohd Fazlee Mohamad berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat. Selepas pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan, mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menurut Sinar Harian.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.08 petang dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.

Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan anggaran keluasan 90X30 kaki persegi.

Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 40%, katanya.

“Api dapat dikawal pada 5.31 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya, 6.26 petang.

“Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.48 malam. Kes diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.