Van sekolah diseret lori balak, 3 pelajar parah di Gua Musang

Van sekolah diseret lori balak, 3 pelajar parah di Gua Musang

Lori balak itu masuk ke laluan bertentangan kerana hilang kawalan selepas mengelak sebuah kenderaan lain dipercayai dipandu melulu.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo, berkata van sekolah dinaiki 15 pelajar itu diseret sejauh 19m oleh lori balak yang masuk ke laluan bertentangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga pelajar parah selepas van sekolah dinaiki terbalik lalu diseret lori balak, dalam kejadian di simpang tiga hadapan IPD Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, lori balak itu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta secara mengejut keluar simpang, sebelum merempuh van sekolah dan tiga kenderaan lain.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo, berkata siasatan mendapati, nahas berlaku disebabkan kecuaian sebuah kereta jenis Kia Spectra yang keluar simpang untuk membelok ke kanan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit dilanggar oleh sebuah lori muatan balak, sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Lori balak itu kemudiannya merempuh tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi, Honda Civic, dan sebuah van Nissan Urvan yang dinaiki 15 pelajar dan murid berusia dalam lingkungan 7 sehingga 17 tahun itu sebelum diseret sejauh 19m dan terbalik.

“Siasatan mendapati, van tersebut sedang dalam perjalanan mengambil murid dan pelajar yang baru habis waktu persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 2,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Choon memberitahu, tiga orang daripada penumpang van berkenaan mengalami kecederaan parah iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun patah tulang selangka dan seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun mengalami darah beku pada dahi.

Katanya, selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pula terkehel tulang paha kanan, manakala mangsa yang lain hanya cedera ringan.

“Lelaki warga emas berusia 67 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Kia Spectra cedera pada bahagian mulut dan kepala.

“Semua mangsa terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Choon berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.