
FMT baru-baru ini melaporkan pengubahsuaian haram telah dibuat ke atas bangunan persatuan Fooi Chew yang berusia 200 tahun di Lebuh Prangin.
Pembinaan semula Wisma Kastam berhampiran pasar Lebuh Campbell juga mendapat tentangan daripada aktivis warisan.
Mark Lay daripada George Town Heritage Action (GTHA) memberi amaran bahawa projek berkenaan mungkin melanggar garis panduan pemeliharaan dan mencetuskan akibat tapak warisan itu dinyahsenarai jika Unesco campur tangan menyokong aduan mereka.
Projek bangunan lima tingkat itu dikecam aktivis warisan, kerana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memohon serta meluluskan projek berkenaan.
Dalam permohonan perancangannya yang dikemukakan pada Februari 2022, MBPP mencadangkan untuk “memulih dan mengekalkan” bahagian hadapan pasar.
Ketika dihubungi FMT, MBPP berkata, pihaknya akan menunggu maklum balas Unesco sebelum meneruskan projek.
Sementara itu, Clement Liang daripada Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang meramalkan bahawa George Town mungkin menghadapi nasib yang sama seperti Liverpool, yang telah dinyahsenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2021.
Penyahsenaraian itu susulan kegagalan majlis bandar raya Liverpool mematuhi amaran mengenai pengubahsuaian haram dan projek tidak sesuai yang dijalankan di pinggir tapak warisannya.
Badan warisan PBB itu berkata, nilai warisan bandar itu telah dikurangkan oleh bangunan yang didirikan di pesisir pantainya, termasuk stadium baharu kelab bola sepak Everton bernilai 500 juta pound sterling.
Lay berkata, GTHA bersedia menerima sebarang keputusan yang mungkin diambil Unesco mengenai projek bangunan MBPP.
Jika Unesco memutuskan bahawa kelulusan projek itu melanggar peraturan penyenaraian warisan George Town, bandar raya itu mungkin diberikan amaran “kad kuning”, yang mewakili fasa satu kemungkinan dinyahsenarai.
Ini sangat memalukan, kata Lay, tetapi mungkin cukup untuk meletakkan kerajaan negeri dalam keadaan berjaga-jaga.
“Jika kerajaan negeri tetap meneruskan (projek) walaupun sudah diberikan ‘kad kuning’, Unesco mungkin memindahkan George Town ke senarai ‘tapak warisan dalam bahaya’.
“(Proses itu) akan mengambil masa setahun,” katanya, sambil menambah bahawa perbincangan antara kerajaan negeri dan Unesco akan menyusul.
“Penolakan berterusan keputusan dan peraturan Unesco itu mungkin menyebabkan George Town dan Melaka dinyahsenarai,” katanya.
George Town dan Melaka disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008.
Bagaimanapun, Lay berkata sebarang percubaan untuk menyahsenarai mungkin mengambil masa beberapa tahun.
“Pulau Pinang mungkin tidak mahu berdepan publisiti buruk dan rasa malu apabila melihat tapak warisannya dalam ‘senarai terancam’, katanya.
Penduduk Pulau Pinang perlu jadi pemerhati warisan
Sementara itu, Liang menyeru rakyat Pulau Pinang agar memerhatikan kerja-kerja pengubahsuaian haram dan projek lain atas bangunan warisan yang boleh menjejaskan “nilai sejagat cemerlang” yang meletakkan George Town pada statusnya sekarang.
Beliau juga menggesa pegawai perancang bandar untuk mendidik semula orang ramai tentang kepentingan memelihara warisan, dan menyeru pihak berkuasa negeri untuk mengikuti langkah beberapa negara lain yang mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang melakukan pengubahsuaian haram.
Liang berkata, penting bagi bandar raya itu mengekalkan status warisan Unesco kerana ia penghormatan bagi rakyat Pulau Pinang dan mampu menarik ramai pelancong tempatan dan asing.
“Saya melihat George Town sebagai angsa bertelur emas,” katanya.
“Kita mesti memastikan ‘angsa’ itu dalam keadaan sihat supaya ia terus membawa manfaat dan membuatkan kita bangga menjadi penjaga Tapak Warisan Dunia Unesco.”