SPRM tahan pegawai Maritim disyaki minta wang perlindungan

SPRM tahan pegawai Maritim disyaki minta wang perlindungan

Suspek meminta wang perlindungan bulanan daripada nelayan sebagai dorongan memudahkan pergerakan mereka di laut.

Lelaki berusia 49 tahun yang berjawatan Bintara Muda itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Langkawi selepas tampil memberikan keterangan.
KANGAR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi penguat kuasa Maritim Malaysia Kedah/Perlis bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta suapan perlindungan di perairan negeri itu.

Menurut sumber, lelaki berusia 49 tahun yang berjawatan Bintara Muda itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Langkawi pada pukul 11.35 pagi tadi selepas tampil memberikan keterangan.

Suspek dipercayai terlibat meminta wang suapan perlindungan bulanan daripada nelayan sebagai dorongan memudahkan pergerakan mereka sewaktu di laut dan dipercayai wang perlindungan itu dibayar secara transaksi serta tunai atau melalui orang tengah.

“Dia akan dilepaskan selepas selesai diambil keterangan. Keseluruhan tangkapan setakat ini adalah sebanyak 15 orang,” kata sumber itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.