Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

Kerani yang kini berusia 28 tahun itu berkata, dia tidak berniat menyebabkan kemalangan tetapi akan membawa perasaan bersalah hingga ke akhir hayat.

Mahkamah Rayuan membebaskan kerani Sam Ke Ting (tengah) dalam kes basikal lajak. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang kerani, Sam Ke Ting, yang sebelum ini dibebaskan dalam kes basikal lajak, memohon maaf kepada ibu bapa lapan remaja yang maut dalam kemalangan pada 2017 itu.

Sam mengakui permohonan maafnya tidak akan mengembalikan semua remaja terbabit dan mungkin tidak akan membawa ketenangan kepada ibu bapa mereka.

“Saya akan bawa perasaan ini (bersalah) sehingga hujung nyawa,” kata Sam kepada pemberita selepas selesai prosiding mahkamah.

Tambahnya, dia tidak berniat menyebabkan kemalangan yang berlaku pada awal pagi 18 Feb 2017 itu.

Mahkamah Rayuan membebaskan Sam daripada tuduhan memandu secara melulu atau berbahaya, menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak di Johor Bahru.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan adalah cacat.

Peguam Sam, Hisyam Teh Poh Teik, turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bagi pihak pasukan guaman.

“Pada masa kami meraikan dan menghargai penghakiman Mahkamah Rayuan, kami masih rasa simpati terhadap mangsa tragedi malang itu.

“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mereka,” katanya.

Pada 13 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Sam. Dia juga didenda RM6,000, atau enam bulan penjara jika ingkar.

Pada akhir rayuannya di Mahkamah Tinggi, Sam diperintah mula menjalani hukuman penjara sejurus selepas permohonannya untuk diikat jamin sementara menunggu permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan ditolak.

Mahkamah Rayuan membenarkannya merayu dan diikat jamin seminggu kemudian.

Sam mengemukakan enam persoalan undang-undang untuk penentuan dalam rayuan itu, termasuk sama ada kenyataan yang dibuatnya dari kandang tertuduh boleh diterima dan disokong oleh keterangan lain yang dikemukakan dalam perbicaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.