Atasi manipulasi, pendapatan ‘rider’ p-panggilan akan dikawal selia Apad

Atasi manipulasi, pendapatan ‘rider’ p-panggilan akan dikawal selia Apad

Isu manipulasi pendapatan pekerja sektor itu menjadi perkara asas keputusan kerajaan memutuskan kawal selia perlu dilakukan.

Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Negara hari ini.
PETALING JAYA:
Pendapatan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-panggilan) akan dikawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bagi mengatasi isu manipulasi atau penindasan pendapatan pekerja oleh syarikat penyedia perkhidmatan itu.

Ia selaras dengan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju hari ini, selepas dibahaskan seramai sembilan Senator di Dewan Negara semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, berkata berdasarkan pindaan ini, pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu Akta 715 bertujuan memperuntukkan keputusan kerajaan melibatkan pengawal seliaan perkhidmatan kenderaan barangan termasuk penggunaan motosikal disediakan menerusi perniagaan pengantaraan perkhidmatan p-panggilan.

“Isu mengenai manipulasi pendapatan pekerja p-panggilan ini memang kita ambil maklum dan ini juga menjadi perkara asas mengapa kerajaan ambil keputusan untuk kawal selia industri ini,” katanya menurut Bernama.

Hasbi berkata, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 mengandungi enam fasal.

Sementara itu, persidangan Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Rang undang-undang berkenaan antara lain memperuntukkan kenderaan p-panggilan sebagai kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Hasbi ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kementerian bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah merangka satu draf kurikulum atau silibus pembelajaran bagi penunggang p-panggilan mendapatkan lesen vokasional.

“Antara skop utama yang akan dimasukkan ialah memahami perbezaan risiko sebagai penghantar, berbanding pengguna biasa.

“…dan keperluan untuk lebih berhati-hati di jalan raya, memahami dan meramal bahaya di jalan raya sebagai seorang penghantar (dan) mengingati konsep asas penunggangan selamat atau ikhtisar-ikhtisar modul asas Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ),” katanya.

Menurut Hasbi, kursus tersebut boleh ditawarkan oleh institut memandu dan syarikat penyedia perkhidmatan p-panggilan, namun akan dipantau dan dikawal selia sepenuhnya JPJ dan kadar fi bagi mendapatkan lesen berkenaan hanya akan diputuskan selepas punca kuasa perundangan itu ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.