
Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli, berkata pengaturan kedudukan pengecas-pengecas EV itu akan merangkumi pelbagai lokasi termasuk pejabat, hotel dan pusat peranginan, kelab golf, dan pusat beli-belah.
“Inisiatif ini sejajar dengan komitmen Rangka Kerja Kelestarian PNB untuk memacu usaha penyahkarbonan dalam portfolio kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengecas EV.
“Malah, (kami) akan menyokong ekosistem EV bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Kerajaan Malaysia 2021–2030, iaitu komitmen untuk menubuhkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, Haikal Zubir, berkata pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan PNB yang mempunyai visi yang sama dalam perjalanan ke arah mobiliti hijau.
“Melalui kerjasama ini, Gentari akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan di hartanah PNB untuk menyokong keperluan pemandu kenderaan elektrik sekali gus menandakan pengembangan jejak infrastruktur pengecasan kami ke negeri Pantai Timur yang akan meningkatkan keyakinan pemanduan antara negeri,” katanya.
PNB melancarkan Rangka Kerja Kelestarian pada 21 April 2022, yang menggariskan 10 komitmen untuk operasi PNB sendiri, serta pelaburannya bawah tiga teras Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
Rangka kerja ini membantu PNB kekal fokus dalam menuju ke arah landskap pelaburan global yang berubah, selain menyasarkan untuk menjadi perusahaan sifar bersih menjelang 2025, selain bekerjasama dengan syarikat pelaburannya untuk menyokong sasaran itu.