Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula, kata PM

Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula, kata PM

Perdana menteri berkata pelantikan Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi Keda belum dimuktamadkan.

Bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) minggu lalu.
IPOH:
Pelantikan pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya bincang dengan Presiden Umno Zahid (Ahmad Zahid Hamidi), belum dihantar surat, kita akan teliti semula, belum ada pelantikan,” katanya.

Beliau demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya.

Anwar berkata demikian bagi mengulas pelantikan beberapa pemimpin Umno ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pada 5 April lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim diumum oleh Zahid sebagai pengerusi Keda.

Sementara itu, Anwar berkata pelantikan pemimpin Umno ke dalam GLC berdasarkan kelayakan dan mereka yang dilantik perlu mengikuti syarat ketat.

“Ia juga bukan syarikat tersenarai awam, kalau ada kelayakan kita akan lantik.

“Syarat-syarat kita ketat, mereka (yang dilantik) mesti bertanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih, elaun juga dihadkan ikut kelayakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.