
Pengurus Bantuan Antarabangsa untuk Perlindungan dan Kebajikan Haiwan (IAPWA) Pulau Pinang, Choong Koon Yean berkata, wang ganjaran itu disumbang oleh seorang penyokong yang enggan dikenali.
Katanya, kumpulan itu juga bekerjasama rapat dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyelesaikan kes itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi MBPP di talian 04-2637000 atau WhatsApp di 016-2004082.
“Identiti pemberi maklumat dan informasi diterima akan dirahsiakan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Seekor lagi anjing ditemui mati
Sementara itu, seorang penduduk Taman Island Glades, Anna Chim, 67, memberitahu FMT satu lagi bangkai anjing ditemui berhampiran kondominium Mutiara View pada Khamis lalu.
Ini menjadikan jumlah anjing liar yang mati diracun di kawasan itu kepada 30.
Katanya, dia dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh seorang rakannya yang tinggal di kondominium itu.
Bangkai anjing itu ditemui dalam keadaan mulut terbuka dan perut kembung, sama seperti 29 bangkai anjing yang ditemui sebelum ini.
Bangkai anjing itu dihantar kepada Jabatan Veterinar untuk dianalisa.
Pencinta haiwan itu yang kehilangan empat ekor anjing yang diselamatkannya berkata, dia berusaha mencari pelaku dengan mengedarkan risalah mengenai ganjaran RM5,000 itu di kawasan perumahannya.
“Saya berharap individu yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini ditangkap. Kami juga memerlukan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sini kerana ketika ini hanya ada satu dipasang selepas lawatan MBPP minggu lalu.
“Sekiranya tidak banyak kamera dipasang lebih banyak anjing akan mati,” katanya.
Pada minggu lalu, MBPP berkata, ia mengenal pasti lokasi strategik di kawasan perumahan itu di mana CCTV akan dipasang bagi mengesan individu bertanggungjawab dan mengelak kejadian serupa berulang kembali.
Pihak berkuasa juga memberitahu penduduk, mereka tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti sama ada video atau saksi kejadian pembunuhan anjing itu.