Kertas siasatan Hadi diserah pada Pejabat Peguam Negara, kata menteri

Kertas siasatan Hadi diserah pada Pejabat Peguam Negara, kata menteri

Menteri dalam negeri berkata tindakan lanjut terhadap presiden PAS akan diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Abdul Hadi Awang disiasat kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera punca gejala rasuah di Malaysia.
SHAH ALAM:
Kertas siasatan terhadap Abdul Hadi Awang berkait kenyataan berunsur perkauman, didakwa dikeluarkan presiden PAS itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Biar proses siasatan itu berlaku dulu dan kemudian kertas siasatan seperti biasa akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Jadi setakat ini, saya tak mahu cakap lebih lanjut mengenai perincian kes tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sesi “townhall” anjuran Sinar Harian.

Saifuddin juga enggan mendedahkan jumlah laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan Hadi itu.

“Saya cuma boleh mengesahkan bahawa ada sejumlah aduan yang dibuat terhadapnya, kemudian kertas siasatan telah dibuka berdasarkan aduan tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu disiasat kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia.

Terdahulu Saifuddin dilaporkan berkata, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN).

Kertas siasatan itu dibuka ke atas Hadi dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Saifuddin berkata, siasatan ke atas Hadi dan Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dengan Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam.

Hadi hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada 29 Ogos lalu selepas 28 laporan polis dibuat terhadapnya.

Fawwaz pula berkata, beliau memberi keterangan kepada polis di IPD Timur Laut Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.