
Beliau berkata, proses itu akan dikurangkan kepada lima hari berbanding tiga bulan ketika ini.
“Kami menyasarkan untuk memendekkan tempoh proses berkenaan kerana itu satu halangan, khususnya bagi pelabur yang mahu memasuki negara ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).
Rafizi berkata, pemohon akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu yang layak untuk permohonannya dipercepatkan atas dasar rekod baik, serta mempunyai sejarah lama dengan negara ini.
“Mereka yang tiada sejarah dengan negara ini akan diperiksa jabatan-jabatan berkaitan. Sekiranya layak, mereka juga akan dimasukkan dalam kumpulan ‘fast-track’,” katanya.
Katanya, proses permohonan baharu itu dijangka berkuat kuasa pada awal Jun.
Bulan lalu, Rafizi berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memudahkan dan memendekkan proses permohonan visa ekspatriat. Katanya, proses sedia ada mengambil masa lima atau enam bulan yang memberi kesan terhadap perancangan tenaga kerja serta perniagaan.
Beliau turut berkata, Pemudah melihat ke arah menyelaraskan proses permohonan kelulusan perancangan yang diuruskan pihak berkuasa tempatan.
“Pada masa ini, kita ada segelintir pihak berkuasa tempatan mengambil 50 hingga 60 hari untuk memproses permohonan, manakala ada yang sehingga 200 hari.
“Pemudah memutuskan memilih satu ‘agile process’ (diamalkan satu pihak berkuasa tempatan) dan menggunapakainya bagi pihak berkuasa tempatan di seluruh negara,” katanya.
Menurut Rafizi, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memproses permohonan berkenaan dalam tempoh 58 hari setakat ini.
Katanya, pasukan petugas turut memikirkan cara mewujudkan ekosistem bagi pihak berkuasa tempatan yang menunjukkan kecekapan dan kepantasan dalam meluluskan permohonan seperti itu, diberi keutamaan dari segi peruntukan di peringkat persekutuan.