
Setiausaha Agung Ridhwan Rosli berkata mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perundangan dan peraturan akan datang. Katanya, ia penting bagi kerajaan untuk mendapatkan input mereka.
“Kerajaan mahu mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun dan juga mengenakan duti eksais ke atas produk tersebut. Kami sokong langkah ini. Bagaimanapun, industri terkejut kerana kami tidak mempunyai pengetahuan mahupun butiran mengenai undang-undang itu.
“Tiada perbincangan dengan KKM mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ridhwan, perbincangan terakhir diadakan pada pertengahan tahun lalu dengan menteri kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin.
“Sejak itu, kami tidak mengadakan sebarang perbincangan mengenai cadangan undang-undang itu dengan menteri baharu mahupun mana-mana pegawai kementerian,” katanya.
Beliau berkata, penting bagi pemain industri terlibat dalam perbincangan sebelum sebarang cadangan mengenai rang undang-undang itu dibuat.
Ini akan memastikan undang-undang vape Malaysia konsisten dengan amalan antarabangsa dan negara yang mengawal selia produk itu.
Ridhwan memetik Filipina sebagai contoh negara mempunyai undang-undang kawal selia vape yang tepat, memujinya atas proses “teliti” untuk memperkenalkan peraturan itu, hasil banyak pertemuan dengan semua pihak berkepentingan.
Dalam warta diterbitkan awal bulan ini, KKM berkata, cecair nikotin dan gel yang digunakan dalam rokok elektronik dan produk vape dikecualikan daripada kawalan racun.
Pengecualian itu membuka jalan kepada penjualan dua produk nikotin serta tampalan nikotin yang digunakan untuk berhenti merokok di kaunter. Tanpa pengecualian itu, produk yang mengandungi nikotin hanya boleh didapatkan dengan preskripsi daripada doktor atau farmasi.
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia menuduh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengatasi Lembaga Racun, yang mengundi untuk tidak mengecualikan bahan-bahan tersebut daripada Akta Racun.