
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berharap masyarakat tidak mudah percaya atau termakan dengan sebaran di media sosial mengenai tarikh itu.
“Pengumuman kita yang terpakai hanya diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja…jangan kita ambil tarikh dari Indonesia atau Emiriah Arab Bersatu dalam TikTok atau WhatsApp. Kita perlu rujuk saluran rasmi maklumat disampaikan itu.
“…yang penting, rujuk yang rasmi, tak pasti, jangan kongsi, itu peringatan saya kepada semua,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Gempak 2023 di Stadium Malawati.
Terdahulu, Fahmi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) kerana menganjurkan anugerah itu bagi mengiktiraf usahawan tempatan atas jasa disumbangkan kepada ekonomi negara.
“Insya-Allah, saya akan minta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama lebih erat dengan Sidec untuk pastikan kita ada sinergi kerana kita ingin pastikan Selangor mampu menjadi contoh kepada negeri lain juga kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi ekonomi digital,” katanya.