OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri itu berkata, OPV kedua dijangka diterima Maritim Malaysia hujung tahun ini.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, TH Heavy Engineering menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan penghantaran OPV pertama.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 24 Julai ini.

Katanya, TH Heavy Engineering (THHE) yang bertanggungjawab membina kapal itu turut memaklumkan OPV kedua dijangka diterima Maritim Malaysia hujung tahun ini.

Beliau berkata, THHE sudah menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan itu, termasuk pembayaran kepada vendor atau pembekal.

“Saya sekali lagi mengadakan lawatan ke Pulau Indah minggu lalu dan kali ini mereka ada tarikh lebih jelas.

“Jadi, mereka (THHE) memberikan tarikh baharu untuk penghantaran kapal OPV pertama, bukan Mac tetapi mereka berganjak ke 24 Julai tahun ini,” katanya menurut Berita Harian.

Februari lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, dua daripada tiga OPV itu dijangka siap dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada pertengahan serta hujung tahun ini.

Walaupun mengalami kelewatan berbanding jadual asal pada Mac dan Oktober ini, katanya, tiada tambahan kos dikenakan kepada projek itu.

Pada 6 Jan lepas, Saifuddin meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan pada Mac dan Oktober ini.

Tetapi, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama dan kerajaan berpendirian tarikh serahan tidak diubah.

Kerajaan sebelum ini menyuntik pinjaman RM152.6 juta untuk memastikan projek OPV yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.