Kerap buat lawatan mengejut ke taska, Suhakam beritahu JKM

Kerap buat lawatan mengejut ke taska, Suhakam beritahu JKM

Suhakam berkata tidak patut pemantauan dibuat ketika proses penyambungan lesen sahaja kerana dibimbangi pengendali taska pasti akan 'memenuhi kriteria'.

Seorang wanita mendakwa anaknya berusia setahun dianiaya di sebuah taska. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu kerap melakukan lawatan mengejut untuk mengenal pasti sama ada taska berdaftar benar-benar mematuhi garis panduan dan kriteria ditetapkan.

Pesuruhjaya Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal, berkata tidak sepatutnya pemantauan hanya dibuat ketika pendaftaran sahaja susulan dibimbangi pengendali taska pasti akan “memenuhi kriteria” bagi penyambungan lesen.

“Kalau lebih had bilangan anak-anak asuhan, siapa nak tahu. Kalau perkara itu bukan hanya perlu dilihat melalui pemantauan berkala, namun mesti ada lawatan mengejut, baru tahu kita tahu ia memenuhi kriteria ditetapkan.

“Jangan pergi (memantau) semasa nak daftar sahaja, dan kemudian nak memperbaharui lesen barulah pergi melawat sekali.

“Sudah tentulah kalau melawat dimaklumkan, mereka akan memenuhi kriteria sebab nak sambung lesen itu. Jadi, saya rasa perkara seperti melakukan lawatan mengejut itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya menurut Astro Awani.

Semalam, sebuah taska diarahkan tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan, berkata hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan JKM itu tidak mematuhi peraturan bawah Akta Taska 1984.

Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook “El Ameerah” berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di telinga, pipi, dan tangan.

Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.

Sementara itu, Aziah turut melihat keperluan menambah taska di tempat kerja bagi memudahkan ibu bapa bekerja serta menjamin keselamatan kanak-kanak.

Pada masa sama, kerajaan disaran memberi perhatian penuh terhadap usaha itu termasuk menyediakan peruntukan tertentu bagi menyediakan fasiliti berkenaan untuk golongan pekerja.

“Saya rasa taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja perlu ditambah lagi peruntukan. Tempat asuhan ini tak banyak, sedangkan seorang ibu memerlukannya, dan kerajaan perlu beri perhatian penuh mengenai isu ini, sebab keselamatan kanak-kanak itu penting agar dan ibu bapa dapat bekerja dengan tenang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.