Gabungan BN-PH Kedah bukan lemah, Mahdzir jawab Sanusi

Gabungan BN-PH Kedah bukan lemah, Mahdzir jawab Sanusi

Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid mengulas keyakinan Sanusi Md Nor yang PN boleh menguasai 33 daripada 36 DUN pada PRN.

Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata BN dan PH mempunyai taktikal dan data untuk menumbangkan PN di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan gabungan lemah untuk berdepan Perikatan Nasional (PN) di Kedah, kata ketua Umno negeri, Mahdzir Khalid.

“Kita bukan batang pisang (lemah), kita juga ada pengiraan dan strategi untuk hadapi mereka,” katanya pada mesyuarat BN-PH menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, baru-baru ini, berhubung keyakinan menguasai sehingga 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN.

Mahdzir berkata, setiap parti politik mempunyai strategi masing-masing dalam membuat persiapan dan merancang gerak kerja tertentu menjelang PRN Kedah, dijangka berlangsung pada Julai.

“Kita ada taktikal dan data yang akan diguna pada PRN nanti, kita tahu mana satu kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu ramai atau tidak, dari situ kita boleh buat perkiraan dan rancang strategi.

“Dengan sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, kita yakin menang pada PRN. Kita akan bekerja sebagai pasukan dan saya yakin kita dalam landasan tepat dan sasaran kita jelas,” katanya.

Mahdzir berkata, rakyat Kedah berpeluang membuat perubahan terhadap kerajaan negeri pada PRN akan datang, bagi memastikan pentadbiran negeri selari dengan pimpinan di Putrajaya.

Dalam pada itu, BN dan PH hari ini secara rasmi bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, pada mesyuarat itu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar, Timbalan Ketua Umno Kedah Abdul Azeez Abdul Rahim, Timbalan Ketua PKR Kedah Nor Azrina Surip dan Ketua DAP Kedah Tan Kok Yew.

Sementara itu, Mahfuz menjelaskan, pihaknya tidak berdepan masalah dalam melakukan rundingan bersama BN, walaupun terdapat dakwaan sebelum ini mengatakan sukar berunding bersama gabungan berkenaan.

“PAS yang susah berunding dengan Umno sebelum ini, kami tidak ada masalah. Saya mula jumpa Tok Det (Mahdzir) di rumahnya untuk bincang perkara asas dan disusuli pertemuan hari ini, selepas ini akan diadakan rundingan kerusi dan konvensyen.

“Selepas itu, kita boleh lihat sasaran berapa kerusi yang PH dan BN boleh menang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.