2 maut dalam nahas 5 kenderaan di luar pusat servis

2 maut dalam nahas 5 kenderaan di luar pusat servis

Polis berkata, seorang lagi penumpang hadapan Honda Civic yang berusia 19 tahun cedera parah.

Keadaan Honda Civic selepas merempuh empat kenderaan di depan sebuah pusat servis di KM11 Jalan Kluang, Batu Pahat, tengah malam tadi. (Gambar JBPM Johor)
PETALING JAYA:
Dua lelaki maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan lima kenderaan di depan sebuah pusat servis di KM11 Jalan Kluang, Batu Pahat, tengah malam tadi.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pemandu Honda Civic berusia 22 tahun, Teo Kai Hong dan penumpang belakangnya, Marcus Teo Howe Yue, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, identiti penumpang hadapan berusia 19 tahun yang parah belum dikenal pasti. Mereka dipercayai keluar bersiar-siar di sekitar Batu Pahat sebelum kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku pada 12.50 tengah malam, apabila Honda Civic itu terbabas ke kiri dan melanggar empat kenderaan di depan pusat servis.

“Mangsa parah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan,” katanya menurut Harian Metro.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, lima jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram bergegas ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Mohd Shahrul Nizam Sadri berkata, dua mangsa tersepit, manakala seorang lagi keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 1.44 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.