
MMA berkata, Zaliha juga mengakui beliau bersetuju memberi pengecualian nikotin itu dengan “berat hati”.
Beliau berkata demikian ketika pertemuan dengan MMA, semalam, untuk menjelaskan pendirian kerajaan berhubung perkara tersebut, kata Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai.
Pertemuan itu turut dihadiri Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, selain melibatkan pegawai kementerian.
Bagaimanapun, Muruga berkata, MMA masih berpandangan penjelasan menteri tidak dapat diterima.
Katanya, Putrajaya boleh menunggu dua atau dua bulan lagi untuk Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentang dan diluluskan, sebelum meneruskan pengecualian nikotin.
“Perkara kesihatan wajib diutamakan daripada segalanya,” katanya dalam kenyataan.
Mengecualikan nikotin daripada senarai bahan kawalan dalam Akta Racun membolehkan apa sahaja cecair vape atau gel – sama ada mengandungi nikotin atau tidak – boleh dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak tanpa mengira umur.
“Tidak berguna lagi sesal sekarang. Keputusan sudah dibuat, namun kerajaan mesti bertanggungjawab selepas ini.”
Kerajaan mesti menunjukkan kesungguhan komitmennya terhadap dasar generasi penamat (GEG) bertujuan menghalang penjualan dan penggunaan sebarang bentuk rokok, termasuk rokok elektronik, dan produk vape kepada individu lahir selepas 1 Jan 2007, katanya.
Muruga berkata, negara tidak mampu melengahkan lagi isu pertambahan ketagihan vape yang sedang melanda.
“Segala pendapatan cukai dikutip daripada industri vape mungkin tidak mencukupi menanggung kos perubatan merawat isu kesihatan kesan ketagihan vape.”
Dalam notis digazet awal bulan ini, Kementerian Kesihatan berkata, pengecualian daripada kawalan racun diberikan kepada cecair nikotin dan gel yang digunakan dalam rokok elektronik dan produk pengewapan (vape).
Susulan itu, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia mendakwa Zaliha menggunakan kuasa menterinya mengatasi Lembaga Racun, yang mana mengundi menentang cecair nikotin dan gel dikecualikan daripada Akta Racun.