
Otai Reformis 98 berkata, pelantikan Syed Ibrahim Syed Noh penting bagi kerajaan perpaduan yang masih baharu kerana beliau boleh melakukan pembaharuan diperlukan, khasnya dalam memerangi rasuah.
Timbalan Presiden kumpulan itu, Mustapa Mansor berkata, tanpa “penggerak”, usaha melaksanakan pembaharuan sukar.
“Wajib mempunyai seseorang yang memahami agenda reformasi dan konsep Madani dibawa perdana menteri,” katanya kepada FMT merujuk prinsip panduan kerajaan.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkuat kuasa 1 April lalu.
Syed Ibrahim adalah pelantikan politik yang mendapat kecaman terbaharu, khasnya NGO.
Ahli politik lain yang dilantik ke jawatan tertinggi agensi kerajaan termasuk Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki (pengerusi Mara), Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad (pengerusi Risda) dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (dilantik semula sebagai pengerusi SPAN).
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook sebelum ini berkata, ada keperluan untuk membezakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan kawal selia sebelum mengkritik pelantikan politik kerana ramai “nampaknya keliru dengan kedua-duanya”.
Mustapa juga berikrar kumpulannya akan bersuara menentang pelantikan kerajaan yang memiliki rekod buruk kerana sia-sia melantik individu sedemikian ke jawatan seperti itu.
“Tumpuan mesti diberikan kepada komitmen dan integriti seseorang.”