
Katanya, tempoh empat ke enam bulan pasca pelaksanaan program itu dilihat masa tepat bagi kerajaan membuat kajian dan penambahbaikan, selepas ia bermula pada Februari.
“Kita akan dapatkan fakta yang meliputi lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga, selain itu ia akan turut melibatkan proses menemu duga peniaga mengenai bentuk bantuan yang mereka perlukan,” katanya menurut Astro Awani.
Salahuddin menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 29 Mac lalu dipetik berkata, kerajaan tidak bercadang memberi insentif atau subsidi kepada 1,706 pengusaha terbabit program Menu Rahmah.
Hari ini, laporan FMT menyiarkan rasa kurang senang beberapa pengusaha makanan Menu Rahmah memandangkan ia lebih menguntungkan kerajaan dari segi “publisiti”.
Seorang peniaga dikenali Nurul Nashfisha, 18, menyifatkan pendirian kerajaan sebelum ini enggan memberi insentif kepada peniaga Menu Rahmah sebagai tidak adil.
“Sekarang kerajaan yang dapat nama, padahal kita sama-sama membantu kerana tahu ramai orang susah.
“Jangan hanya harapkan peniaga sahaja yang akhirnya menyebabkan program ini tidak kekal kerana harga barang semakin meningkat,” katanya yang berniaga bersama ibunya di kaki lima di Kelana Jaya.
Seorang peniaga dikenali Farawahida, berkata walaupun mengakui program Menu Rahmah bersifat pilihan, Putrajaya seharusnya lebih cakna dengan menyelesaikan isu kenaikan bahan mentah.
Salahuddin ketika mengulas lanjut, berkata temu bual seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan, mereka menyifatkan terdapat peningkatan hasil jualan menerusi pengenalan Menu Rahmah.
“Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti dengan penuh bertanggungjawab. Kita faham ini adalah isu melibatkan keperluan peniaga dan rakyat.
“Sebanyak 70% peniaga memaklumkan mendapat keuntungan manakala selebihnya itu mereka kata ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka jangka,” katanya.