2 maut kereta terjunam sungai

2 maut kereta terjunam sungai

Nahas itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Parit Tengah ke Ayer Hitam.

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas terjunam ke Sungai Parit Kuari di Ayer Hitam awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh papan tanda sebelum terjunam ke anak sungai sedalam kira-kira 1m di Ayer Hitam, Johor, awal pagi tadi.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku ketika pemandu dan penumpang yang masing-masing berusia 21 dan 22 tahun itu dalam perjalanan dari Parit Tengah ke Ayer Hitam.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan, sebelum merempuh papan tanda dan terjunam ke Sungai Parit Kuari.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-duanya yang juga warga tempatan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba Ayer Hitam,” katanya menurut Berita Harian.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Salmiah Mohamed di talian 07-4327704.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komander Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dikerahkan ke tempat kejadian.

Katanya, mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.