‘Tiada masalah, saya akan beri bukti’, Anwar jawab tuntutan Dr M

‘Tiada masalah, saya akan beri bukti’, Anwar jawab tuntutan Dr M

Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menuntut PM mengemukakan bukti atau menarik balik dakwaan yang dikatakan merujuk kepada beliau mengayakan diri dan keluarga semasa berkuasa.

Pada Kongres PKR bulan lepas, Anwar Ibrahim dikatakan menyindir bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggunakan kedudukannya untuk mengayakan diri dan keluarga.
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memberikan bukti atas dakwaannya yang dikatakan merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad mengayakan diri dan keluarga semasa berkuasa.

Anwar ketika berucap pada Kongres PKR bulan lepas merujuk kepada seseorang “yang berkuasa selama 22 tahun dan (kemudian) campur 22 bulan” menggunakan kedudukannya untuk mengayakan diri dan keluarga.

Susulan itu, bekas perdana menteri itu menuntut Anwar mengemukakan bukti atau menarik balik dakwaan tersebut.

Ditanya mengenai tuntutan Mahathir itu, Anwar hari ini berkata, beliau tiada masalah untuk mengemukakan bukti.

“Saya tak mahu gaduh, diminta jawab saya jawab, dia (Mahathir) minta bukti, saya akan bagi bukti, tak ada masalah,” katanya semasa sesi dialog bersama pelajar UiTM di Shah Alam.

Tidak menafikan perkara baik yang dilakukan Mahathir, Anwar menegaskan banyak kerosakan juga telah berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

“Saya sudah cakap pentadbirannya ada baiknya juga, tetapi masalah kerosakan (juga) banyak, sistemnya,” katanya.

Pada 28 Mac, Mahathir berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika Anwar gagal menarik balik dakwaan tersebut.

Selasa lepas, peguam Anwar memaklumkan pihaknya akan menjawab notis tuntutan dikemukakan Dr Mahathir Mohamad pada 17 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.