
Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalang utama kes itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, manakala pengarah syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, tujuh lagi dibebaskan dan menjadi saksi pendakwaan.
“Ada antara yang ditahan merupakan pelabur atau mangsa skim berperanan sebagai ‘authorised introducer’, iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur dibawa masuk ke dalam skim itu,” katanya dalam kenyataan.
Sejak Jan 2021 hingga kini, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menerima 92 laporan polis berkaitan skim penipuan pelaburan itu dengan nilai kerugian RM17,547,414.50.
Beliau berkata, polis juga berjaya membekukan aset merangkumi 27 akaun bank bernilai RM700,533.47, enam kenderaan anggaran nilai RM1,165,800 dan 11,000,000 unit saham di empat syarikat berkaitan.
Beliau menggesa individu yang menjadi mangsa skim pelaburan itu segera tampil membuat laporan polis.
Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa kira-kira 300 mangsa penipuan skim pelaburan itu belum membuat laporan polis kerana diugut pihak tertentu yang mereka akan ditangkap dan direman.