
Penduduk itu dalam kenyataan, berkata Mahkamah Tinggi Temerloh menetapkan 10 hingga 13 Apr untuk mendengar saman sivil itu.
Mereka menamakan kerajaan Pahang dan kerajaan persekutuan, pengarah Pejabat Tanah Dan Galian, pengarah Jabatan Perhutanan, dan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai defendan.
Penduduk memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan mereka pemegang hak tanah adat tunggal di Kampung Pos Lanai.
Mereka juga memohon pengisytiharan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tiada hak menjalan atau membenarkan sebarang aktiviti seperti perlombongan di tanah mereka.
Penduduk juga mahu mahkamah mengarahkan kerajaan Pahang mengazetkan Kampung Pos Lanai sebagai penempatan Orang Asli mengikut Akta Orang Asli 1954.
Saman itu kali pertama difailkan pada 2021. Penduduk berkenaan diwakili peguam, Harneshpal Singh Bhullah dari Tetuan Lui & Bhullar.
“Kami tinggal di Kampung Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang sejak zaman berzaman,” kata mereka.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa ada beberapa usaha dilakukan pihak berkuasa untuk memindahkan mereka dengan Jakoa menggesa mereka berpindah pada 2011 ke projek penempatan semula Kampung Pantos.
Penduduk mendakwa, ia bagi memberi laluan kepada projek Empangan Telom yang akan menenggelamkan kampung itu.
“Selepas membawa perkara itu ke mahkamah dan mengadakan beberapa protes akhirnya projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019.”
Penduduk juga mendakwa ada cadangan untuk melombong nadir bumi di hulu Sungai Telom pada 2021, membabitkan 660 hektar kawasan hutan.
Mereka bimbang projek itu akan mencemarkan sungai yang menjadi sumber utama air penduduk.