
Dr RA Lingeshwaran, bekas pengarah Hospital Sungai Bakap berkata, langkah itu akan mengurangkan jumlah keseluruhan doktor kontrak di hospital awam.
Ini bermakna, penyelesaian jangka panjang masih perlu dicari untuk menyelesaikan isu itu, katanya.
Lingeshwaran berkata, dianggarkan terdapat 26,300 pegawai perubatan kontrak ketika ini, dengan 5,000 lagi dijangka memulakan perkhidmatan setiap tahun selepas menamatkan tempoh dua hingga tiga tahun sebagai doktor pelatih.

“Cadangan semasa meringankan keperluan berterusan graduan secara tahunan tetapi tidak akan menambah jumlah keseluruhan doktor kontrak.
“Itu adalah penyelesaian jangka pendek yang bagus untuk isu itu,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga perlu mengusahakan penyelesaian jangka sederhana dan panjang, tambahnya.
Walaupun gembira dengan jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa, Lingeshwaran berkata, penyelesaian jangka panjang mesti segera dicari.
KKM dan JPA perlu menangani isu asas yang menjejaskan profesion perubatan supaya masalah ini dapat diselesaikan untuk selama-lamanya, katanya.
Lingeshwaran berkata, kementerian mesti bersikap adil kepada pembayar cukai dengan memaklumkan jumlah doktor yang negara perlukan.
“Kita perlu memastikan bahawa jumlah yang diserap adalah wajar, berdasarkan beban kerja dan keperluan penduduk,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pertumbuhan tahunan negara antara 2019 hingga 2021 berada pada kira-kira 1%.
“Cadangan menyerap 4,160 pegawai perubatan setahun ke jawatan tetap mewakili 12% daripada 31,713 yang kini memegang jawatan tetap di hospital.
“Ringkasnya, kadar penyerapan pegawai perubatan mesti berasaskan pertumbuhan populasi keseluruhan negara,” kata Lingeshwaran.
Beliau berkata, nisbah pegawai perubatan kepada penduduk adalah 1:470 pada 2021, lebih rendah daripada nisbah purata 1:277 bagi 38 negara yang membentuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Bagaimanapun, Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara maju seperti AS (1:384), Jepun (1:400) dan Korea (1:400).
“Semua ini mesti diambil kira apabila kementerian dan JPA duduk membincangkan penyelesaian jangka panjang bagi masalah kompleks ini,” katanya.
Perancangan sumber manusia penting, kata MMA
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mencadangkan perancangan jangka panjang sumber manusia dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, KKM mesti mengunjurkan keperluan sumber manusianya bagi tempoh lima hingga 10 tahun dan mengenal pasti titik tanda untuk mencapainya.
MMA telah meminta JPA untuk membuat unjuran bagi tujuan itu tetapi masih belum menerima maklum balas, katanya.
“Pelan itu harus merangkumi jumlah sasaran doktor, pakar, ahli farmasi, ahli radiologi, kakitangan penjagaan kesihatan bersekutu dan kakitangan penjagaan kesihatan lain,” katanya dalam kenyataan.
Muruga meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang akan ditubuhkan untuk merancang, mengupah dan mengurus tenaga kerja penjagaan kesihatan awam dan gajinya kerana keperluan dalam sektor tersebut sangat berbeza daripada jabatan kerajaan yang lain.
“Untuk menubuhkan suruhanjaya itu, beberapa pembaharuan tertentu diperlukan dalam membiayai penjagaan kesihatan dan sumber manusianya.
“Selain itu, kita juga mungkin perlu menyemak semula pengambilan pelajar perubatan untuk memadankan bekalan dengan permintaan doktor pada masa akan datang,” tambahnya.