Malaysia tak boikot Sukan Olimpik 2024 di Paris

Malaysia tak boikot Sukan Olimpik 2024 di Paris

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Malaysia tidak akan menurut jejak Amerika Syarikat, Jerman, dan Australia mengancam memboikot temasya itu kerana Rusia.

Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh berkata jawatankuasa Road to Gold memutuskan untuk tidak mengikut jejak negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia yang mahu memboikot Sukan Olimpik 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia tidak merancang memboikot Sukan Olimpik 2024 di Paris dan akan menghantar kontinjen, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, dan Australia dilapor mengancam memboikot temasya itu susulan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan Rusia dan Belarus menghantar atlet ke Paris.

Hannah berkata, jawatankuasa Road to Gold (RTG) memutuskan untuk menghantar kontinjen.

“Saya tidak mahu komen mengenai negara lain tetapi apa yang jawatankuasa putuskan selaras dengan ketetapan IOC, kita tidak mencampur adukkan polik ke dalam sukan,” katanya pada sidang media.

Beliau juga percaya atlet kebangsaan akan memberi yang terbaik membawa kejayaan kepada Malaysia dalam misi memburu pingat emas pertama, lapor Bernama.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan jaguh badminton profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, esok, bagi mendengar segala permasalahan dihadapi susulan prestasi tidak menentu pemain keempat dunia itu sejak kebelakangan ini.

Sambil mengakui harapan diletakkan rakyat kepada Zii Jia sangat tinggi, Hannah juga membidas lambakan laporan media terhadap pemain berusia 25 tahun itu yang disifatkannya “tidak sihat”.

Hannah berkata, barisan pemain profesional memerlukan sokongan jitu semua pihak dan segala keperluan ditagih mereka, termasuk dalam program RTG juga berbeza antara satu sama lain, maka ruang sentiasa terbuka untuk atlet berjumpa dengannya.

“Mereka boleh WhatsApp dan beritahu kita, tidak perlu mesyuarat rasmi kerana ini boleh menjadi penghalang kerana mereka perlu tunggu mesyuarat baru boleh bincang.

“Komunikasi secara terbuka ini yang kita mahu ada dengan atlet kita kerana pada akhirnya yang masuk gelanggang adalah atlet kita,” katanya.

Selain Zii Jia, lima lagi wakil badminton tersenarai dalam program RTG antaranya beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dan tiga gandingan profesional iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (campuran); Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (campuran) serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (lelaki).

Baki senarai calon atlet terlibat dalam program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua lagi wakil dari sukan terjun iaitu Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.