
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menemukan punca berlaku aliran berwarna biru dari paip longkang kilang itu.
Katanya, siasatan lanjut Luas dan pensampelan di kawasan premis itu mengesan air biru itu sama seperti dalam tangki takat pelepasan akhir dan mesin milik kilang itu.
“Luas telah mengarahkan premis itu menghentikan segera pelepasan efluen dan melaksanakan kerja pembersihan serta merta selaras Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999.
“Satu kertas siasatan dibuka berdasarkan Seksyen 79(1)(c) enakmen sama yang memperuntukan denda maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya lagi, aliran pencemaran itu berpotensi menyebabkan gangguan operasi Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri iaitu Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3 di mana alirannya akan masuk ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor.
“Sehingga 6 pagi tadi, aliran pencemaran berjaya dikawal sepenuhnya dan kualiti air di Sungai Gong sekitar 500m dari lokasi pelepasan kembali kepada kualiti normal,” katanya.