
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, selain acara sukan, KBS juga menerima banyak permintaan bagi pengecualian mahupun pengurangan cukai hiburan untuk acara berkaitan belia.
“Sudah semestinya (harga tiket MotoGP mahal), jadi kita akan perjuangkannya (pengurangan cukai hiburan),” katanya pada Majlis Ihya Ramadan bersama media dan warga Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini semalam.
Dalam pada itu, Yeoh berkata, agak mustahil bagi Malaysia mengembalikan semula perlumbaan Formula 1 (F1) memandangkan kos penganjurannya terlalu tinggi.

Sebaliknya, beliau berkata, KBS buat masa ini akan mengutamakan pemberian dana kepada SIC, termasuk suntikan RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur dalam usaha menarik lebih banyak penganjuran acara tempatan atau antarabangsa.
“Kalau mampu, memang kita akan buat (perlumbaan F1), tapi memang kita tak mampu sekarang, jadi kita akan gunakan dana yang kita ada untuk keutamaan lain dahulu,” katanya.
Malaysia menganjurkan perlumbaan F1 sejak 1999, sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkannya pada 2017 ekoran penyusutan pulangan yang ketara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif memberikan jaminan terdapat kelainan dalam penganjuran MotoGP di SIC yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Nov ini.
Dalam perkembangan lain, Azhan Shafriman berkata, kerja penurapan litar di selekoh tujuh sehingga 12 daripada keseluruhan litar sepanjang 5.54km itu mencapai tahap 40%.
Beliau yakin kerja penurapan itu dapat disiapkan menjelang minggu terakhir bulan ini, sebelum pihaknya menganjurkan Piala Porsche Carrera Asia pada 29 dan 30 April.
Kali terakhir SIC menaik taraf litar itu pada 2016 dan tiada sebarang penurapan baharu selepas itu.