Jelaskan keperluan lantik timbalan exco, Rauf diberitahu

Jelaskan keperluan lantik timbalan exco, Rauf diberitahu

Dua bekas Ahli Parlimen dan seorang ahli akademik merasakan tiada keperluan untuk jawatan timbalan exco.

Ab Rauf Yusoh menolak tanggapan pelantikan timbalan exco adalah pembaziran dana kerajaan.
PETALING JAYA:
Dua bekas Ahli Parlimen menggesa Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menjelaskan keputusannya melantik 10 timbalan kepada exco negeri itu.

Seorang ahli akademik pula berpendapat ia skim untuk memberi ganjaran kepada penyokongnya dalam Umno.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, Rauf perlu mewajarkan pelantikan timbalan exco dengan menyediakan skop tugas mereka.

“Beliau mesti menyatakan sebabnya. Adakah ia bertujuan mewujudkan pekerjaan untuk ahli politik? Atau adakah mereka mempunyai peranan substantif?” tanya Maria.

Beliau memberitahu FMT, Rauf perlu menjelaskan sama ada peranan timbalan exco itu berbeza daripada kakitangan sedia ada di jabatan berkenaan.

“Apa yang boleh dilakukan timbalan exco, tetapi tidak boleh dilakukan kakitangan?” soalnya.

Katanya, mempunyai 10 exco sama seperti mempunyai Jemaah Menteri di Melaka dan mana datang wang untuk membayar gaji mereka nanti.

Malam tadi, Rauf menamakan 10 timbalan exco dan portfolio masing-masing. Lapan orang daripada Barisan Nasional dan dua lagi Pakatan Harapan.

Terdahulu, beliau menyifatkan komposisi timbalan exco “menarik” dan pelantikan mereka akan membolehkan Adun blok kerajaan memainkan peranan lebih menonjol dalam pentadbiran negeri.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, exco tidak perlu mempunyai timbalan kerana ia akan meningkatkan beban kewangan kerajaan dan dana itu lebih baik digunakan di tempat lain berbanding membayar gaji timbalan exco.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pelantikan itu dibuat “hanya untuk tujuan politik”.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, jawatan timbalan exco sebenarnya tidak perlu dan Adun Perikatan Nasional harus meminta Rauf memberi justifikasi terhadap pelantikan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia kelihatan seperti skim untuk memberi ganjaran kepada penyokongnya dalam kem Umnonya. Selain itu, wang itu boleh digunakan dengan lebih baik.”

Malam tadi, Rauf juga dilaporkan berharap dua Adun PN akan menyertai kerajaan negeri sebelum undang-undang anti-lompat parti dibentangkan di DUN pada Julai nanti.

Ketua Umno Melaka itu berkata, jika dua Adun itu bersetuju menyertai pentadbirannya, Melaka akan mencipta sejarah sebagai negeri pertama “sifar” pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.