Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

Yusoff Rawther turut menarik balik permohonan membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan presiden PKR itu berhubung dakwaan serangan seksual.

Yusoff Rawther menyaman Anwar Ibrahim pada 2021 atas dakwaan serangan seksual pada 2018.
PUTRAJAYA:
Bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk membatalkan tuntutan balas presiden PKR itu terhadap dakwaan salah laku seksual.

Yusoff Rawther turut menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng kemudian membatalkan rayuan itu dan membenarkan kos RM5,000 seperti dimohon peguam Anwar, Navpreet Singh.

Hakim Hashim Hamzah dan Lim Chong Fong turut menganggotai panel itu yang dijadualkan mendengar rayuan itu hari ini.

Peguam Reenajit Kaur Golen yang mewakili Yusoff meminta tiada kos diperintahkan mahkamah kerana anak guamnya menulis kepada mahkamah pada 6 Mac lalu memohon penarikan balik rayuan itu.

“Sehingga kini, tiada sebarang hujahan difailkan perayu atau responden (Anwar),” katanya ketika prosiding dalam talian.

Navpreet berkata, keputusan Yusoff menarik balik rayuan itu hanya menunjukkan beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kegagalannya melepasi ujian ambang pembatalan itu.

Katanya, Yusoff memfailkan notis rayuan dan meneruskan sesi pengurusan kes bagi mendapatkan arahan untuk memfailkan penghujahan.

“Beliau mengubah fikiran sebulan sebelum tarikh pendengaran rayuan,” katanya sambil menambah Yusoff memutuskan untuk menarik balik rayuan hanya dua hari sebelum tarikh akhir untuk memfailkan hujahan bertulis.

Navpreet menggesa mahkamah memerintahkan kos RM5,000 untuk menampung perbelanjaan menangani rayuan itu.

Pada 9 Sept 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Johan Lee dilaporkan berkata, permohonan Yusoff tanpa merit dan saman itu perlu melalui perbicaraan penuh.

Ia berkaitan saman difailkan Yusoff terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 atas dakwaan serangan seksual oleh bekas majikannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

Akibat kejadian itu, beliau mendakwa dirinya dituduh merancang untuk menggulingkan Anwar dan merosakkan kerjaya politiknya, serta ini menjejaskan kesihatan mentalnya.

Justeru, beliau menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Yusoff memfailkan permohonan pada Disember 2021 untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar uang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

Katanya, tuntutan balas Anwar bersifat spekulatif, kabur serta tidak mempunyai kejelasan dan butiran, selain ia tidak mengenal pasti sebarang punca tindakan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Navpreet memberitahu FMT, pengurusan kes akan diadakan di depan Lee pada 13 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.