Tiada isu dengan lantikan di universiti, Khaled bidas dakwaan kesatuan

Tiada isu dengan lantikan di universiti, Khaled bidas dakwaan kesatuan

Menteri pendidikan tinggi berkata setiap ahli senat dilantik perlu mengikuti garis panduan dan tertakluk kepada hala tuju universiti sebagaimana ditetapkan kementerian.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata jika isu lantikan politik dalam senat universiti dibangkitkan, beliau akan menjawabnya di Parlimen.
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin menafikan dakwaan kesatuan mahasiswa bahawa pendekatan pemilihan jawatan penting di universiti oleh naib canselor akan membuka ruang kepada lantikan politik yang tidak sihat.

Katanya, setiap ahli senat yang dilantik perlu mengikuti garis panduan dan tertakluk kepada hala tuju universiti, sebagaimana ditetapkan kementerian.

Katanya, ahli senat yang dilantik juga termasuk tokoh daripada pelbagai latar belakang, antaranya bidang industri, korporat, kerajaan dan dalam kalangan pelajar, agar universiti itu mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi dan memenuhi kehendak industri.

“Itu (lantikan politik) tidak timbul, kalau ada (dibangkitkan), saya jawab di Parlimen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog awam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bersama mahasiswa dan warga institusi pengajian tinggi.

Semalam, FMT melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengubah kaedah pemilihan jawatan penting di universiti, berikutan terdapat rungutan suara mereka tidak didengari kerana pemegang jawatan kanan dilantik pihak atasan.

Presidennya, Ooi Guo Shen, mendakwa pendekatan itu “akan membuka ruang kepada lantikan politik yang tidak sihat bagi landskap pendidikan tinggi”.

Pendekatan ketika ini adalah kementerian akan memilih naib canselor dan ahli lembaga pengarah, kemudian mereka akan memilih timbalan naib canselor, pendaftar kanan, dan dekan.

Senat universiti ialah badan berkuasa tertinggi dan bertanggungjawab ke atas arahan am di universiti. Fungsi sebenarnya adalah membincangkan perkara dasar berkaitan universiti berasaskan tiga cabang utama, iaitu akademik, penyelidikan, dan pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.