RM1.57 bilion untuk ‘duit raya’ 3.46 juta penerima

RM1.57 bilion untuk ‘duit raya’ 3.46 juta penerima

Penerima Bayaran Khas Kewangan Aidilfitri terdiri penjawat awam, pesara kerajaan, pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan.

Seramai 1.4 juta penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan MySTEP akan menerima RM700 dengan implikasi kewangan RM988 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 3.46 juta orang akan menerima Bayaran Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM1.572 bilion yang akan disalurkan pada 17 April ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata penerima terdiri daripada penjawat awam, pesara kerajaan, pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan.

“Seramai 1.4 juta penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan MySTEP akan menerima RM700 dengan implikasi kewangan RM988 juta.

“Sementara itu, sejuta pesara kerajaan termasuk veteran tidak berpencen akan menerima RM350 dengan implikasi RM350 juta,” katanya selepas melawat ibu pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ahmad berkata, 850,000 penerima terdiri daripada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan masing-masing menerima RM200 dengan nilai keseluruhan RM170 juta.

Bagi sukarelawan pula, sebanyak 213,000 orang terdiri sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima manfaat daripada BKKA berjumlah RM64 juta.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan BKKA kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb 2023.

Pada 29 Mac lepas, Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan inisiatif tambahan Belanjawan 2023 baharu melibatkan bantuan Aidilfitri diperluas kepada golongan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.